My Blog List

Thursday, August 5, 2010

PENGENALAN MAQASID AL-SYARIAH



Pengertian maqasid Syariah adalah bermaksud para Ulama tidak berbeza pendapat bahawa seluruh peraturan yang terdapat dalam Islam mempunyai tujuan dan matlamat yang besar dan penting iaitu untuk menjaga kepentingan manusia dunia dan di akhirat. Dari sini mereka menyimpulkan maksud Maqasid al-syariah sebagai tujuan utama dan rahsia agung yang terkandung di dalam syariah Islamiyyah. Oleh itu tidak ada satu pun ajaran Islam yang membawa keburukan dan kesusahan kepada manusia. Syariah Islamiyyah menjamin keperluan asasi dalam hidup manusia yang disebut sebagai darurat al-khams. Syariah Islamiyyah juga mengambil berat perkara yang bersifat keperluan penting yang di sebut sebagai hajiyat, sebagaimana Islam memperakukan pentingnya aspek keselesaan dan kesempurnaan kepada manusia dalam menjalani kehidupan, yang disebut sebagai tahsiniyyat.

Berhubung dengan keperluan asasi yang menjadi agenda utama syariah Islamiyyah, ia terdiri daripada lima perkara berikut.

· Penjagaan agama

· Penjagaan nyawa

· Penjagaan akal

· Penjagaan keturunan

· Penjagaan harta

Bagi memenuhi tujuan dan matlamat syariah yang besar itu, maka Allah s.w.t. telah mensyariatkan berbagai peraturan yang dikira sebagai wasilah atau cara kearah mencapai matlamat tersebut. Sebab itu maqasid al-syariah tidak boleh dicapai tanpa menggunakan wasilah tertentu. Oleh yang demikian perbahasan tentang wasilah atau cara adalah satu aspek penting dalam pengajian maqasid al-syariah.

Pembahagian Maqasid Syariah

Ulama membahagikan kepada tiga peringkat

Peringkat pertama: Maqasid Daruriyyat

Iaitu sesuatu asas yang wajib bagi menjamin tercapainya matlamat hidup didunia dan diakhirat ia dianggap sebagai keperluan asasi. Maqasid ini dijelaskan oleh al-Imam al-Syathibi seperti berikut.

1) Matlamat Penjagaan Agama

Untuk menegakkan agama, Allah mensyariatkan rangkaian usul-usul pengabdian diri kepada Allah dan lain-lain lagi. Bagi menjamin pemeliharaan dan penjagaan agama, maka Allah mensyariatkan jihad, hukuman ke atas orang murtad dan lain-lain lagi.

2) Matlamat Penjagaan Nyawa

Untuk melahirkan zuriat yang sempurna, Allah mensyariatkan sistem perkahwinan dan peraturan yang berkaitan, Allah mensyariatkan pengharaman jenayah bunuh, kuatkuasa undang-undang Qisas dan sebagainya.

3) Matlamat Penjagaan Akal

Untuk menjaga dan membangunkan akal dan minda manusia, Allah s.w.t. mengharamkan arak dan perkara yang memabukkan serta memerintahkan penyuburan akal dengan kerohanian.

4) Matlamat Penjagaan Keturunan

Untuk melahirkan keturuan yang betul, Allah mensyariatkan kaedah-kaedah tertentu dalam perkahwinan seperti mengutamakan cirri keagamaan dalam memilih pasangan dan lain-lain. Untuk menjaga keselamatan keturunan, maka Allah s.w.t. mengharamkan jenayah zina dan perkara yang berkaitan denganya seperti pergaulan bebas dan lain-lain.

5) Matlamat Penjagaan Harta

Untuk mendapatkan harta mengikut cara yang betul, Islam mensyariatkan kaedah pemilikan harta seperti jual beli, sewaan dan sebagainya. Manakala bagi melindungi keselamatan harta, Allah mengharamkan jenayah mencuri dan mengarahkan kuatkuasa undang-undang hudud dan lain-lainya.

Peringkat Kedua: Maqasid Hajiyat

Iaitu suatu keperluan yang membawa kelapangan hidup seperti beberapa kelapangan hidup seperti kelonggaran dalam sistem akad kehartaan dan muamalat, kelonggaran didalam ibadah dan lain-lainya. Tahap maqasid kedua ini dijamin oleh Islam bagi tujuan menghindarkan kesusahan, mempermudahkan sesuatu dan menyediakan saluran kesenangan kepada manusia. Tanpa maqasid ini, tidak lah merosakkan sistem hidup, namun suasana sukar,payah dan perit akan dihadapi.

Peringkat ketiga: Maqasid Tahsinyyat

Iaitu suatu keperluan yang tidak pokok dan mendesak, tetapi memberikan nilai kesempurnaan dalam hidup, seperti amalan sunat, adab-adab yang dianjurkan oleh Islam dalam kehidupan harian dan lain-lain.

Maqasid ini dijamin oleh Islam kerana Islam sangat mementingkan tahap kesempurnaan dan kecemerlangan atau keselesaan untuk manusia. Manusia dibenarkan memenuhi kehendak naluri dan perasaan secara tabii tanpa melanggar sempadan syarak, seperti hiburan. Mereka boleh berusaha untuk mencapai tahap kemuliaan dan kedudukan yang tinggi dengan cara yang betul, bukan secara yang jahat.

Namun begitu, pemakaian dan perlaksanaan kepada ketiga-tiga tahap maqasid ini tertakluk dengan kaedah keutamaan iaitu perkara daruriyyat hendaklah didahulukan ke atas kedua-dua kepentingan ( Hajiyat dan Tahsinyyat). Begitu juga apabila berlaku percanggahan antara mana-mana kepentingan itu, maka keutamaan diberikan kepada daruriyyat, kemudian hajiyat dan akhirnya tahsiniyyat. Kaedah susunan keutamaan ini penting bagi mengelakkan tindakan songsang dan menggagalkan matlamat Syariah Islamiyyah.

No comments:

Post a Comment